Sunday, 9 June 2024

JIWA SEMAKIN KERAS, SEKERAS KEHIDUPAN

 Assalamualaikum. Tahun demi tahun. Sibuk dengan kehidupan menjadikan aku kekal leka dengan diari halimunan aku ni. Kenapa halimunan? Sebab susah untuk orang perasan. Kalau buat di status whatsapp, facebook, instagram, secepat kilat orang boleh baca dan judge. Dihakimi mencari perhatian, mengemis perhatian, tidak matang dan sebagainya.. Tapi tidak disini. Bertahun tahun kisah aku, aku simpan disini. Sedari umur masih belasan tahun. Aku selesa disini. Malah, lebih selesa berbanding berada orang yang dekat dengan aku. 

Jadi, apa kisah aku setelah bertahun tidak menulis disini? Banyak.. Banyak perubahan yang berlaku. Perubahan disekelilingku, pada diri aku sendiri juga. 

Pernah dengar tak, orang cakap.. Diri kita menjadi seperti apa yang kita lalui dalam kehidupan. Kerasnya manusia bukan bersahaja membabi buta. Itu yang aku rasakan dalam diri aku ketika ini.. 

Dulu, aku seorang yang sangat lembik. Mudah menangis, mudah meratap, mudah berputus asa, segala galanya mudah dalam diri aku. Tapi sekarang..? 

Bagaimana kerasnya hidup yang aku hadap, begitulah kerasnya aku rasa dalam diri aku sekarang. Menangis? Separuh mati aku akan tahan diri aku supaya tidak menangis. Meratap? Separuh mati aku pastikan tiada sesiapa yang perlu aku ratap. Berputus asa? Separuh mati aku tetap bertahan dengan setiap kegagalan atau ujian yang berlaku untuk kehadapan. 

Namun aku tidak lupa, aku tetap manusia. Terkadang aku tewas dengan apa yang aku cuba pertahankan. Menangis tetap ada, tetapi tidak lagi dihadapan mana mana manusia. Esakan tangis aku tenggelamkan dengan bunyi air yang mengalir di bilik air. Aku juga masih cuba bertahan daripada meratap pemergian manusia yang tidak ingin berada dalam kehidupanku. Aku cuba bersedia dengan apa segala kemungkinan yang berlaku. KEHILANGAN. Berputus asa? Sekiranya aku berhenti daripada melakukan apa apa perkara, aku tidak menggelarkannya sebagai berputus asa, tetapi ia sebagai tanda aku perlu berehat daripada hal hal yang mungkin tidak sesuai buat aku. Allah tahu, Allah pandang tiap usaha hamba Nya. Allah juga tahu, rezeki Nya tetap bukan di tangan manusia. 

Mungkin sekarang aku lebih keras dari yang dulu. Bukan aku sengaja, tapi aku mesti menjadi keras. Kalau aku serapuh yang dulu, mungkin aku tidak ada lagi didunia pada saat ini. 

Alhamdulillah untuk semua yang aku pernah merasakan sekarang. Allah Maha Penyayang. Walaupun hidup aku tak seberuntung manusia yang lain, tapi aku tahu masih ada juga manusia yang tidak seberuntung aku. Jadi, kenapa perlu aku merungut? Hal hal yang menyakitkan berlaku dalam kehidupan, aku anggap ianya sebagai kafarah Allah kerana Dia juga Maha Membalas. Mungkin ada doa antara manusia yang aku sakiti termakbul. 



No comments:

Post a Comment