Bunyi detik jam sangat dekat ditelinga. Mungkin
seperti aku sedang mengira waktu tapi yang lebih tepat aku sangat menantikan
detikkan jam terakhir untuk pulang kerja.
Ah!Apa lagi yang dipekik singa betina untuk hari
ini. Tidak penatkah seharian memekik sedangkan hari esok ada lagi untuk dia
melakukan hal yang sama. Aku rela membatu mengangguk kononnya tanda setuju
supaya dia cepat cepat pergi dari mata dan telinga aku. Akhirnya dia pergi.
Dan sekarang, aku kembali tersenyum. Senyum untuk
bahagia yang bakal aku rasa usai sampai dirumah nanti. Bahagianya masih terasa
disini cuma aku harus bersabar untuk beberapa detik lagi untuk bahagia yang
sebenar.
Usai pulang kerja, pastinya aku akan merasa teruja,
Teruja yang pasti untuk menatap satu satunya wajah,
Yang sering aku singgahkan seharian cerita di
telinganya,
Yang sering aku singgahkan lelah derita di bahunya.
Meski dibahunya sudah punya lelah sendiri, tapi dia
masih tidak lokek untuk berkongsi bahu buat lelahku juga.
“Sayang……” aku seru manja. Diam.
“Abang dah balik…” aku menyambung lagi. Beg aku
letakkan di atas sofa. Menyusun langkah satu persatu dan akhirnya aku berhenti
di ruang dapur dan melihat ke arah meja makan. Aku diam dan tersenyum. Inilah
bahagia yang aku katakan tadi. Aku mendekati meja.
“Maaf sebab biarkan sayang sorang sorang..”, ku
kucup dahinya tanda maaf, tanda cinta.
“Mari, abang mandikan dan cantikkan sayang..”, aku
lakukan tugas yang sudah menjadi kemestian buat aku sejak satu minggu yang
lalu.
Aku ambil perlahan satu demi satu anggota badannya
dan menuju ke bilik mandi..
“Tadi abang cari syampoo yang sayang selalu pakai
dulu, tapi kedai tu tak ada jual. Nanti abang cari di kedai lain ya..”, perlahan
aku memujuk sambil memegang dengan berhati hati bahagian kepalanya. Aku
meneruskan tugasan mencuci untuk bahagian yang lain sehingga selesai.
“Sayang dah cantik!”, ujar aku sambil menatap
matanya yang terpejam rapat.
Aku meletakkan dia kembali ke tempat asal. Atas
meja makan. Kepala dibahagian atas, tangan dikiri dan kanan, kaki aku susunkan
di bawah dan badan aku letakkan ditengah tengah antara kepala dan kaki.
“Perfect!”,tidak lekang senyuman aku melihat dia
yang sedang cantik. Tidak pasti sampai bila, tapi cukuplah aku dapat menikmati
detik ini. Dia masih ada dengan aku, dia masih disini. Dengan aku. Walau
tubuhnya tersedia kaku.
Aku pejam dan aku lena. Bersedia berhadapan hari
esok
* * * * * * * * * *
BERITA SOROTAN HARIAN
17 April 2013
IPOH – Seorang
wanita ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di Jalan Simpang Tiga di
sini, dengan anggota badannya dikerat, malam semalam. Mangsa, Nur Melissa, 26
ditemukan oleh pihak polis di dalam rumahnya sendiri selepas mendapat aduan
dari jiran yang terhidu bau busuk.
Setakat
ini, penahanan dilakukan ke atas suami mangsa sendiri, Muhd Hilman, 27, yang
ketika itu ditemukan sedang tidur di sebelah mayat.
Siasatan
awal mendapati, mangsa telah dibunuh lebih dari 3 hari berikutan keadaan
mayat yang sudah mula membusuk. Tiada sebarang pengakuan yang dilakukan oleh
suami mangsa kepada polis namun hanya berbisik,
“Tangan sayang dah tak boleh pukul abang lagi, kaki
sayang dah tak boleh pijak abang lagi. Abang dah selamatkan sayang dari neraka.
Sayang dah tak derhaka pada abang.….”
-Sorotan Harian-
No comments:
Post a Comment