Thursday, 11 October 2018

KARYA TIN KOSONG

Tiap helai rambut yang dikira satu persatu sudah pun mencecah helaian ke 100. Entahkan betul entahkan tidak atau cuma hanya kiraan dimulut yang bersuara.

"Kamu yakin helaian yang ke 100 itu benar-benar jumlahnya?", tiba-tiba muncul suara dari belakang.

"Orang tiada akal yang mengira, kak. Siapa yang tahu?", hanya mampu memberi jawapan selamat.

"Akalnya masih ada, jiwanya yang tiada. Masakan dia masih mampu melayan kamu, menjamu kamu secawan kopi andai akalnya tiada", ya benar. Secawan kopi panas masih belum dihirup yang dihidang padanya. 

..............

Sunyi. Apa lagi yang harus diborakkan. Perempuan ini terlalu 'sepi'. Usai menjamu air, dia leka dengan kiraan helaian rambut sendiri. Bagaimana mahu mula? Dimana? 

" Pian tidak pulang bersama kau, Udin?", akhirnya bersuara perempuan ini.

" Pian belum dapat pulang lagi, Mawar. Kau bagaimana? Makin sedap air kopi yang kau jamu pada aku. Jauh beza dengan setahun yang lepas", usiknya membuka bicara walau belum sehirup yang lalu ditekaknya.

" Ah, Udin! Air masih tidak terusik sudah tahu bagaimana rasanya. Jangan kau gila sama aku, Udin. Tak tertanggung", masih mampu tersengih dihujung katanya. Lalu kembali menghitung helaian rambutnya. 

....................................

Setapak kau melangkah, beribu langkah rindu mula mengejar

Sudah terbiasa diriku kau dampingi,
Sedangkan kau biasa aja tanpa aku disisi,

Cemburu 
Bagaimana kuatnya hati kau tanpa ada aku.
Dan aku terlalu ingin rasa dirindu.

......................................

Panas terik masih mampu ditanggung. Demi mendakap tubuh yang sudah lama dirindukan. Hampir setahun, inilah laluan yang setia dilaluinya. Kerana hanya jalan ini yang menjadi saksi kali terakhir dia dan suaminya beriringan ke laut. Sebelum, kesayangannya 'sesat'.

"Lautan itu luas, barangkali Abang tersesat," itulah ayat yang sering dilafaz demi menidakkan yang realiti.

Sampai. Tubuh dirindu sudah dihadapan mata. Dirangkul erat. Bau badan suaminya yang sungguh dicari tiap malam.

"Masih sesatkah, abang?", bicara masih dalam pelukan. Tidak sesaat ingin dilepas.

"Abang rindu kau, Mawar", kini mata suami direnung.

"Rindu tapi setiap hari Mawar yang datang bertemu abang. Kenapa abang tidak mahu pulang bersama Mawar?", mahu rajuk namun kalah dengan rindu.

"Janji pada abang, yang kau akan tetap bertemu abang setiap hari disini. Sehingga abang pulang", tidak dilepas sesaat peluang untuk menatap wajah suaminya.

"Mawar janji. Cepat pulang ya, abang", sekali lagi sengaja dibenamkan wajahnya ke dakapan suaminya hingga tubuh itu hilang.

............................................

Yang dipelukan bukan jasad cuma bayang,
Yang dirindukan bukan insan cuma orang.

Ceritakan bagaimana mahu ditahan?
Agar tubuh dipasak tidak berganjak.

Sedangkan memegang bayang bisa terlepas, 
Lagikan memujuk orang jangan berlepas/

....................................................

Kaki melangkah pulang, namun tidak hatinya. Dibiar tinggal ditempat sama agar esok, lusa dan hari seterusnya kan menjadi asbab untuk dia kembali bertemu sisuami.

Kata mereka yang siuman, suaminya sudah 'ditelan' laut. Bagaimana jiwa siisteri ingin mengiyakan? Jasad suami mungkin terlepas dari pandangan tapi tidak dari kehidupannya.

Apa yang pasti, jalan ini tetap menjadi saksi. Betapa gigih diri ini menanti.
Kepulangan sisuami yang dirindui.

....................................................

Menjadi kuat saat kehilangan orang yang kita sayang, tidak pasti ianya pilihan atau satu kemestian.

Bolehkah memilih untuk tidak menjadi kuat atua menjadi kuat?

Atau semestinya kita harus menjadi kuat saat hilang orang yang kita sayang?



-HABIS DAH-







1 comment: